Wednesday, November 18, 2009

Pendidikan ICT Di MalaysiaICT (Information Communication Technology) adalah system yang membolehkan pengumpulan, pengurusan, manipulasi, perolehan, dan komunikasi maklumat dalam pelbagai bentuk. ICT dalam pendidikan bermaksud penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang menyokong proses teras dalam pengurusan dan pentadbiran pendidikan, pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta pendidikan sepanjang hayat. Penggunaan ICT dalam P&P membolehkan aktiviti P&P dijalankan tanpa kekangan tempat dan masa, meningkatkan penggunaan sumber pendidikan, perupaya meningkatkan kualiti pendidikan di samping mempercepat proses pendidikan berasaskan kadar kebolehan pelajar.

KPM telah menggariskan tiga dasar utama ICT dalam pendidikan.

1. Dasar pertama adalah literasi ICT untuk semua pelajar, bermaksud pelajar memperoleh kemahiran menggunakan kemudahan ICT.

2. Dasar kedua mengutamakan peranan dan fungsi ICT dalam pendidikan sebagai kurikulum dan alat P&P. ICT sebagai kurikulum bermaksud pelajar mempelajari ICT sebagai mata pelajaran seperti mata pelajaran Teknologi Maklumat bagi peringkat SPM dan mata pelajaran Pengkomputeran bagi peringkat STPM. ICT dalam P&P seperti penggunaan perisian kursus, internet, dan aplikasi generik yang lain (contohnya, perisian CAD dalam mata pelajaran reka cipta dan lukisan kejuruteraan).

3. Dasar ketiga menekankan penggunaan ICT untuk meningkatkan produktivi, kecekapan, dan keberkesanan sistem pengurusan. Ini terhasil daripada pengautomasian pejabat dan pelaksanaan sistem aplikasi pengurusan yang membawa kepada penambahbaikan proses kerja.

Pembangunan ICT dalam pendidikan bagi 10 tahun akan datang bermatlamat untuk:
1. meningkatkan pembangunan infrastruktur ICT;
2. memperluas akses dan ekuiti kepada kemudahan ICT;
3. memperluas kurikulum berasaskan ICT;
4. meningkatkan sistem pentaksiran dengan menggunakan ICT;
5. menekankan pengintegrasikan ICT dalam P&P;
6. meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ICT di kalangan pelajar, tenaga pengajar, dan personel KPM;
7. meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan pendidikan;
8. meningkatkan usaha pengurusan dan penyenggaraan perkakasan ICT;
9. meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam ICT; dan
10. meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan dengan masyarakat dalam membanuk memperkembangkan ICT dalam pendidikan.

Friday, October 23, 2009



PERANAN MOTIVASI DALAM PENDIDIKAN
PENGENALAN
Pada umumnya, seorang pekerja yang gembira merupakan pekerja yang paling produktif. Dengan kata lain, kepuasan bekerja mendorong peningkatan prestasi. Penglibatan pekerja, bimbingan dan tunjuk ajar serta motivasi adalah ramuan yang penting dalam menentukan kejayaan keseluruhan organisasi pendidikan. Di dalam organisasi pendidikan didapati “pendidikan bertaraf dunia” adalah sebagai wacana dalam Dasar Pendidikan Negara yang meletakkan proses pendidikan sebagai satu bidang yang penting dalam kehidupan seharian khususnya di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai institusi perkembangan ilmu. Pengiktirafan yang diberikan terhadap bidang pendidikan membawa satu implikasi dan impak yang serius terhadap profesion perguruan yang secara langsung terlibat di dalam sistem penyampaian ilmu.
DEFINISI Pengurusan Sumber Manusia didefinisikan sebagai suatu pendekatan pengurusan strategik yang melibatkan elemen terpenting dalam organisasi, iaitu individu yang menyumbangkan idea, kepakaran dan tenaga ke arah pencapaian objektif organisasi. Pengurusan sumber manusia juga merupakan pendekatan pengurusan tenaga kerja secara menyeluruh meliputi aspek perancangan, latihan, perkembangan kerjaya, keselamatan dan kebajikan pekerja, menilai prestasi pekerja, memotivasikan pekerja sehingga aspek disiplin dan pampasan pekerja. Menurut Schuler ( 1995), pengurusan sumber manusia adalah berkenaan dengan pengurusan manusia sesebuah organisasi dengan cara paling berkesan demi kebaikan pekerja, organisasi dan masyarakat.Istilah motivasi pula berasal daripada perkataan Latin movere yang bermakna bergerak, oleh demikian istilah motivasi bermakna mendorong, mengarah dan mengekalkan sesuatu tingkah laku. Motivasi juga ialah proses untuk membangkit, mengekal dan mengawal minat dalam melakukan sesuatu tindakan. Motivasi berlaku dari dorongan dalaman dan luaran. Individu yang berjaya selalunya dikaitkan dengan mempunyai kekuatan, cita-cita tinggi, kebijaksanaan, daya saing dan daya suai yang kukuh. Menurut Bartol & Martin (1994), motivasi juga dikaitkan dengan kuasa yang memberi tenaga kepada gelagat, memberi arah haluan kepada gelagat dan menjadi asas kepada kecenderungan manusia untuk bertekun.
ORGANISASI PENDIDIKAN - PROFESION PERGURUAN MASA KINIPendidikan bertaraf dunia mempunyai wawasan ke arah melahirkan generasi mengamalkan budaya fikir, kritis, kreatif dan inovatif. Hanya manusia yang berbudaya fikir dapat bersaing di medan antarabangsa serta menjanakan idea ke arah pembangunan tamadun ilmu, masyarakat, budaya, bangsa dan negara.Tahun 2000 bukan sahaja berkehendakkan manusia mengamalkan budaya fikir tetapi bersama-sama menggabungkan penggunaan teknologi dalam sebarang bentuk tindakan. Perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dengan adanya penggunaan komputer dalam bidang pendidikan menjadikan ilmu lebih mudah diakses, disebar dan disimpan. Manakala kecanggihan serta kemampuannya menyampaikan sesuatu maklumat secara cepat, tepat dan menarik dalam bentuk multimedia menjadikannya sebagai satu daya tarikan ke arah mewujudkan satu senario belajar yang lebih menyeronokkan.Dalam hal ini profesion perguruan di alaf baru ini haruslah mampu menguasai dan menggabungkan kemahiran-kemahiran yang berkaitan untuk melahirkan satu bentuk pendidikan yang lebih bermakna dan bestari. Kebestarian sesuatu pengajaran itu bergantung kepada sejauhmanakah seseorang guru dapat mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu ke arah melahirkan seorang pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani serta dapat hidup dalam keadaan yang harmonis yang berpegang teguh pada agama dan kepercayaan pada Tuhan sepertimana yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Negara.Sehubungan dengan hasrat ini konsep sekolah bestari telah diperkenalkan dan guru-guru pula haruslah memberi satu respons yang positif ke arah mengimplementasikannya. Dalam situasi ini guru-guru harus membuat sedikit anjakan paradigma terhadap pemikiran serta tanggapan yang akan melibatkan penyusunan strategi pengajaran begitu juga dalam amalan di bilik darjah:“Kita perlu berkisar dan berganjak daripada norma dan kebiasaan dalam melaksanakantugas-tugas kita yang lazim, rutin dan “reasonable” kepada yang lain:yang inovatif dan imaginatif; yang bersifat non-linear, dan lateral yang menggunakan budaya “reflective rationality” dan yang “unreasonable”(Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin)Dari petikan di atas membawa implikasi bahawa guru tidak seharusnya berpuas hati dengan apa yang mereka perolehi sekarang. Guru harus meneroka dengan lebih giat lagi serta sanggup menerima segala cabaran dalam arena mencari dan menyampai ilmu. Guru seharunya lebih bersifat responsif, proaktif serta dapat membuat penyesuaian terhadap apa sahaja perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan akibat daripada perkembangan teknologi dan perledakan maklumat. Dengan kata lain kepuasan bekerja seseorang guru akan mendorong peningkatan prestasi.
TEORI-TEORI MOTIVASI Motivasi ialah proses untuk membangkit, mengekal dan mengawal minat dalam melakukan sesuatu tindakan. Motivasi berlaku dari dorongan dalaman dan luaran. Individu yang berjaya selalunya dikaitkan dengan mempunyai kekuatan, cita-cita tinggi, kebijaksanaan, daya saing dan daya suai yang kukuh.Teori motivasi boleh dikelompokkan ke dalam dua jenis dan berbeza sudut pendekatannya. Pertama, teori kandungan menerangkan unsur-unsur yang secara semulajadi wujud di dalam diri manusia dan bagaimana unsur-unsur semulajadi ini mempengaruhi sikap dan tingkah laku manusia.Teori-teori jenis ini juga disebut dengan istilah teori-teori keperluan. Antara teori yang termasuk dalam kategori ini ialah Teori Hirarki Keperluan oleh Maslow, Teori Dua-Faktor yang dikemukakan oleh Herzberg dan Teori Motivasi Pencapaian oleh McClelland. Teori-teori ini secara tidak langsung menerangkan motivasi individual iaitu mengapa seseorang itu melakukan apa yang dilakukannya, tanpa sebarang dorongan daripada orang lain.Jenis teori kedua ialah teori proses yang menerangkan proses-proses motivasi iaitu apa yang mendorong seseorang memulakan sesuatu perbuatan, apa yang menyebabkan perbuatan ituditeruskannya dan apa yang menentukan arah perbutan itu. Antara teori-teori yang termasuk dalam kategori ini ialah Teori Pengharapan (Expectancy Theory ), Teori Ekuiti, Teori Gol ( Goal Theory) dan Teori Atribusi (Attribution Theory). Teori-teori proses mengatakan manusia sentiasa memproses maklumat dan seterusnya mengambil pelbagai keputusan. Setiap keputusan yang diambil itulah yang menentukan tingkah laku individu berkenaan. Teori-teori jenis ini juga percaya setiap tingkah laku manusia didorong oleh tujuan.Pada dasarnya, tiap-tiap teori motivasi mendakwa ganjaran atau reward sangat besar pengaruhnya ke atas tingkah laku individu. Dalam erti kata lain, apabila sesuatu tingkah laku itu diberi ganjaran maka itulah yang dilakukan. Seseorang itu terdorong melakukan sesuatu perbuatan dengan harapan dia akan mendapat ganjaran yang diharapkan.Teori keperluan Maslow mengatakan sebagai manusia biasa, seseorang itu melakukan apa yang dilakukannya disebabkan ingin memenuhi keperluan-keperluan dari segi jasmani, emosi dan rohani. Maslow juga yakin setiap manusia mempunyai harga diri dan maruah yang mesti dimuliakan. Maslow juga mengenalpasti lima peringkat keperluan iaitu keperluan fisiologi, keperluan keselamatan, keperluan sosial, keperluan maruah dan penyempurnaan diri. Antara keperluan fisiologi ialah makanan, air, udara, tidur, seks dan kepuasan pancaindera. Apabila seseorang itu hendak mendorong sasaran, salah satu cara ialah memberi makan atau makan bersama-sama. Sebagai organisasi pendidikan terutamanya sekolah adalah menjadi amalan mengadakan jamuan bagi majlis hari guru, keraian, perpisahan dan jamuan akhir tahun. Jamuan ini penting bagi menghargai guru-guru dan secara tidak langsung memberi dorongan kepada para guru untuk menjalankan tugas dengan lebih baik lagi. Bagi ketua-ketua jabatan seperti pengetua atau guru besar yang sering berkursus atau bermesyuarat di luar kawasan boleh membeli barangan berupa makanan dan sebagainya sebagai ole-ole kepada guru-guru dan kakitangan sokongan. Hadiah jenis ini murah harganya dan boleh dinikmati oleh semua tanpa mengganggu tugas serta sebagai tanda ingatan seorang ketua kepada orang bawahannya. Keperluan seterusnya adalah kepuasan pancaindera seperti sentuhan dan belaian. Guru-guru yang bertugas di kampung-kampung atau kawasan pedalaman perlu membanyakkan perbuatan bersalaman dengan masyarakat setempat setiap kali mereka berinteraksi. Secara tidak langsung ia menjadi dorongan atau rangsangan untuk mengenali mereka dengan lebih rapat lagi dan memberi kepuasan kepada guru tersebut untuk menjalankan tugas di kawasan yang asing bagi mereka.Keperluan keselamatan juga penting kerana melibatkan keinginan hendak hidup dalam keadaan aman, tenteram, stabil, bebas daripada rasa khuatir, bimbang dan takut. Bagi organisasi pendidikan terutamanya sekolah, keperluan keselamatan ini meliputi keselamatan fizikal sekolah seperti bangunan yang kukuh, keselamatan guru serta pelajar dan sebagainya. Selain itu keselamatan emosi di mana seseorang itu yakin tidak akan mengalami perasaan dirinya dihina, diberi malu, dikecewakan, sedih, takut dan lain-lain emosi yang membawa penderitaan pada batinnya. Apabila seseorang itu suka menegur, mengkritik dan memarahi orang lain, ini menyebabkan orang-orang itu berasa tidak selamat apabila berinteraksi dengannya. Ini menyebabkan mereka menjauhkan diri daripadanya. Sebagai contoh seorang pengetua atau guru besar yang suka marah-marah atau mengkritik di hadapan khalayak ramai boleh menyebabkan orang-orang bawahannya seperti guru-guru berasa tidak selesa dan hilang minat untuk melakukan sesuatu tugasan itu dengan lebih baik. Salah satu ciri tingkah laku pekerja bermasalah ialah mereka hanya membuat apa yang disuruh oleh si ketua dan tidak mahu mengambil daya usaha sendiri. Ramai juga ketua seperti guru besar atau pengetua mengenakan ancaman dan ugutan seperti ditukar ke tempat lain, tiada kenaikan pangkat dan sebagainya. Oleh itu keperluan mahu terselamat daripada dimarahi ketua mendorong sesetengah pekerja menyiapkan kerja-kerjanya ala kadar sahaja, asalkan tidak kena marah. Oleh itu jelas disini, mereka didorong oleh rasa tidak selamat dan bukan didorong oleh hasrat mahu melihat organisasi mencapai matlamat penubuhannya.Teori motivasi seterusnya adalah teori pengharapan dikenali juga expectancy theory. Teori ini lebih melihat pada peringkat prestasi kerja atau performance. Mengikut teori pengharapan, seseorang pekerja itu mempunyai motivasi kerja yang tinggi apabila dia berada dalam tiga keadaan. Pertama, pengharapannya amat tinggi iaitu dia yakin kerja itu dapat dilaksanakannya dengan betul. Kedua, instrumentalitinya amat tinggi iaitu dia yakin daya usahanya tentu membuahkan hasil yang diharapkannya dan ketiga, valensnya amat tinggi iaitu dia sangat mengingini hasil daripada daya usahanya itu.Antara faktor-faktor yang mempengaruhi semangat kerja dan prestasi adalah manusia mengharapkan dengan melakukan sesuatu tugas itu maka dia akan mendapat ganjaran yang diharapkan. Nilai ganjaran itu pula bergantung sejauhmana dia memerlukan dan inginkan ganjaran itu. Manusia juga sanggup berusaha lebih apabila pada pandangannya terdapat perkaitan kuat antara usaha dengan ganjaran itu, yakni semakin kuat usahanya, semakin tinggi peluangnya untuk mendapat ganjaran itu. Sebagai contoh, dalam organisasi pendidikan seperti di sekolah, seseorang guru yang bermotivasi dan percaya ada ganjaran yang diperoleh sekiranya bekerja dengan bersungguh-sungguh seperti mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Guru Bestari dan pelbagai anugerah yang berupa ganjaran kepada para guru.Daya usaha sahaja juga tidak menjamin prestasi tinggi, ertinya tidak semestinya kerana seseorang itu berusaha lebih kuat maka prestasinya meningkat. Prestasi amat dipengaruhi oleh ciri-ciri peribadi seperti kepintaran, kemahiran, pengetahuan, latihan dan ciri-ciri personalitinya, umpamanya adakah dia seorang yang teguh, gigih, kreatif dan lain-lain. Sebagai contoh seorang guru yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu seperti teknologi maka guru tersebut lebih diberikan perhatian oleh pihak pentadbir berbanding guru biasa.Faktor lain yang mempengaruhi semangat kerja dan prestasi adalah ganjaran yang diharapkan. Ganjaran pula terdiri daripada dua jenis iaitu ganjaran dalaman dan ganjaran luaran. Ganjaran dalaman termasuklah perasaan puas apabila tugas itu akhirnya dapat dilaksanakan, perasaan bangga kerana berjaya memikul tanggungjawab yang berat dan pengiktirafan yang diperolehi. Ganjaran luaran pula termasuklah gaji, bonus dan keadaan di tempat kerja. Sebagai contoh terdapat ramai guru yang memiliki ganjaran dalaman ini termasuklah kepuasan yang diperolehi apabila anak-anak didik mereka berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan utama seperti UPSR, PMR, SPM dan sebagainya. Sememangnya para guru lebih bermotivasi sekiranya terdapat tingkah laku positif anak didik mereka termasuk guru-guru yang mengajar prasekolah kerana kebanyakan murid yang memasuki prasekolah bermula dengan kosong iaitu tidak tahu membaca, mengira dan sebagainya tetapi di akhir tahun murid-murid ini ada yang sudah menguasai 3M ( membaca, mengira dan menulis ). Oleh itu, perasaan bangga dan kepuasan akan dirasai oleh guru prasekolah tersebut dan sudah tentu guru tersebut lebih bermotivasi dan cuba meningkatkan prestasi kerjanya walaupun kadangkala usaha tersebut tidak mendapat perhatian dari pihak pentadbir seperti guru besar.Selain itu, ketua-ketua jangan sekali-kali terlepas kata-kata yang mengandungi ramalan-ramalan negatif ke atas prestasi pekerja disebabkan orang-orang bawahan amat percaya apa yang dikatakan oleh ketua-ketua mereka itu betul. Perkara yang diramalkan oleh seorang ketua mungkin tidak ada asasnya sama sekali, tetapi disebabkan si ketua meramalkan perkara itu terjadi , akibatnya ramalan itu benar-benar menjadi kenyataan. Ramalan si ketua itu hanyalah apa yang dibayangkannya semata-mata. Sebagai pengetua atau guru besar sesebuah sekolah perkara seperti ini kadangkala berlaku juga di mana mereka suka membuat ramalan tentang prestasi kerja guru-guru mereka berdasarkan kepada hubungan guru tersebut dengan pihak pentadbir. Begitu juga antara guru dengan anak-anak muridnya di mana guru tersebut membuat ramalan terlebihdahulu tentang prestasi para pelajarnya dan sudah tentu tiada layanan yang adil. Ramalan juga boleh menyebabkan pemikiran seseorang itu tidak objektif lagi kerana dia akan melakukan perbuatan-perbuatan yang menyebabkan orang lain berperilaku seperti yang diramalkannya. Ia juga menyebabkan seseorang itu Cuma melihat apa yang diramalkannya, bukan apa yang sebenarnya adalah realiti.Teori proses seterusnya adalah teori pengukuhan atau reinforcement theory dan teori ini adalah yang paling berguna bagi tujuan mendorong tingkah laku. Teori ini mengatakan manusia melakukan apa yang dilakukannya kerana mengharapkan ganjaran. Ganjaran adalah salah satu faktor yang dapat mencipta hubungan positif antara ketua dan mereka yang menjadi subordinat atau orang-orang bawahannya. Strategi mengubah tingkah laku yang hendak diamalkan di dalam organisasi sebaik-baiknya menekankan aplikasi pengukuhan positif dan bukan pengukuhan negatif, hukuman atau dendaan. Ini lebih penting lagi apabila hendak memberi dorongan perubahan tingkah laku kepada sesuatu kumpulan.Menurut teori pengukuhan, setiap ganjaran berfungsi sebagai pengukuh bagi sesuatu tingkah laku. Dua fungsi pengukuh adalah pertama, mendorong penerima mengulangi tingkah lakunya yang positif. Sesetengah jenis ganjaran mendorong penerimanya mengulangi tingkah lakunya. Tingkah laku yang diulang itu mungkin yang baik ataupun yang buruk. Ganjaran yang berfungsi dengan cara begini disebut pengukuh positif. Sebagai contoh murid yang diberi perhatian oleh gurunya apabila dia melakukan kesalahan. Lain kali, apabila si murid mahukan perhatian gurunya maka dia boleh mendapatkan perhatian itu dengan melakukan kesalahan.Fungsi kedua ialah mendorong penerima memberhentikan tingkah lakunya yang negatif. Sesetengah ganjaran mendorong si penerimanya memberhentikan tingkah lakunya, sama ada tingkah laku itu jenis yang baik mahupun yang buruk. Ganjaran yang menimbulkan kesan begini dikatakan mempunyai kesan pengukuh negatif. Pengukuh negatif pula berfungsi memadam atau mencantas sesuatu tingkah laku. Sebagai contoh, seorang guru yang dikenakan tindakan disiplin kerana tidak hadir bertugas dan sebagainya mungkin tidak akan mengulangi perbuatannya itu apabila ditukarkan ke sekolah lain. Contoh tingkah laku baik yang diberhentikan ialah dalam kes seorang guru yang menggunakan inisiatif sendiri sewaktu menjalankan tugas seperti menghantar ke sesuatu pertandingan dengan menggunakan ideanya sendiri tetapi kemudian dimarahi oleh ketuanya, maka selepas itu dia tidak mahu lagi menggunakan inisiatifnya sendiri.Teori pengukuhan mengatakan setiap individu memerlukan ganjaran bagi semua yang dilakukannya. Sebagai contoh menurut teori ini, seorang pekerja akan membina hubungan baik dengan ketuanya kerana dia mengharapkan ketuanya akan memberi pelbagai ganjaran, tetapi jikalau yang diterima daripada ketuanya adalah yang sebaliknya maka pekerja itu tidak mempunyai dorongan hendak membina hubungan baik itu. Jenis dorongan pula boleh digolongkan dalam dua jenis iaitu dorongan dalaman dan dorongan luaran. Dorongan dalaman ialah kesediaan seseorang itu melakukan sesuatu tugas kerana tugas itu sendiri yang menyebabkannya berasa seronok dan puas hati. Dalam keadaan ini apa yang menyebabkannya seronok bekerja adalah pekerjaan itu sendiri. Dorongan dalaman menyebabkan seseorang itu suka melakukan kerja-kerja yang diminatinya walaupun individu-individu lain mungkin mengatakan kerja tersebut sia-sia dan tiada faedah. Sebagai contoh, seorang guru yang sangat minat berkebun serta melakukan keceriaan sekolah akan sentiasa memastikan kawasan sekolahnya sentiasa bersih dan ceria walaupun tugas tersebut sukarela namun guru tersebut sanggup melakukannya selepas waktu sekolah.Dorongan luaran pula adalah kesanggupan seseorang melakukan sesuatu tugas disebabkan ada ganjaran-ganjaran luaran, ataupun disebabkan tidak mahu dihukum. Dalam keadaan ini faktor keseronokan tidak ada pada tugas tersebut. Hukuman pula adalah contoh pendorong luaran. Lain-lain contoh dorongan luaran ialah wang, pangkat, hadiah, puji-pujian, bintang kehormatan, gelaran dan sebagainya. Kajian-kajian pakar psikologi seperti Amabile dan Fabes mendapati apabila individu-individu yang dahulunya seronok melakukan sesuatu kerja, tetapi kini diberi ganjaran luaran untuk melakukan kerja yang sama, maka didapati hilang rasa seronok dan minat mereka juga merosot. Sebagai contoh, ramai graduan yang memilih untuk menjadi guru adalah kerana tidak berjaya untuk mendapatkan pekerjaan lain. Mereka ini, biasanya melakukan tugas mengajar kerana terpaksa dan betul-betul berminat.Ciri-ciri jenis ganjaran yang berkesan bagi mendorong seseorang itu melakukan kerja-kerja yang baik adalah seperti ganjaran tersebut diberi atas keupayaan iaitu ganjaran itu diberikan apabila individu itu mempunyai keupayaan melakukan tugas tersebut maksudnya beri ganjaran atas apa yang dia berupaya lakukan. Sebagai contoh, guru baru yang mula bertugas sebulan tetapi sudah menunjukkan kecekapan yang amat tinggi dalam proses pengajaran dan pembelajarannya, maka bolehlah dia diberi ganjaran seperti pujian atau hadiah. Ganjaran jenis ini dapat mendorongnya terus bekerja dengan lebih baik lagi.Seterusnya, ganjaran diberi atas bakat luar biasa. Ganjaran tersebut diberikan apabila pekerja itu mempunyai pencapaian luar biasa. Sebagai contoh, seorang guru yang baru pertama kali masuk pertandingan pidato atau bahas, tetapi dia berjaya masuk ke peringkat kebangsaan, itu menunjukkan pencapaian luar biasa dan ganjaran yang diterima mendorong dia terus meningkatkan pencapaiannya.Seterusnya, ganjaran diberi bagi menimbulkan dorongan dalaman iaitu menggunakan ganjaran sebagai salah satu cara menggalakkan pekerja supaya mahu terus melakukan sesuatu tugas itu sehingga timbul minat dan keseronokan dalam hatinya. Ada banyak perkara yang baik tetapi seseorang itu tidak berminat melakukannya, sebagai contoh, perbuatan membaca adalah baik tetapi ramai orang tidak berminat melakukannya termasuk pelajar-pelajar sekolah sehingga diadakan kempen bulan membaca dan program NILAM. Seseorang itu sebenarnya dapat didorong meminati apa yang kurang diminatinya. Beri ganjaran sewaktu dia baru mula mahu melakukan tugas itu. Apabila ada tanda-tanda dia mula seronok melakukan tugas tersebut, kurangkan ganjaran itu sedikit demi sedikit. Sebagai contoh, apabila mendorong guru-guru belajar menggunakan sistem komputer, beri ganjaran kecil seperti disket percuma dan sebagainya supaya mereka mencapai tahap kemahiran di mana pada tahap itu dia mulai berasa seronok bekerja dengan sistem itu. Apabila sudah seronok, ganjaran dapat dihentikan dan dia akan melakukan kerja tersebut disebabkan dorongan dalamannya sendiri.Terdapat pelbagai jenis ganjaran yang dapat diberikan sebagai pengukuh positif bagi sikap, tabiat dan tingkah laku positif. Jenis-jenis ganjaran itu adalah makan minum, dalam Islam juga ganjaran bentuk makan minum adalah sangat digalakkan. Antara contoh ganjaran makan minum adalah makan tengahari yang dibayar oleh jabatan, jamuan keraian, bakul makanan dan buah-buahan untuk yang sakit yang dibayar oleh jabatan. Jenis ganjaran seterusnya adalah cenderamata. Antara contoh cenderamata adalah jam tangan, barang kemas, pakaian, hiasan dinding dan sebagainya. Jenis ganjaran seterusnya adalah peralatan kerja. Antara contoh peralatan kerja adalah komputer, keanggotaan kelab eksekutif, perabot pejabat, telefon bimbit dan sebagainya. Seterusnya ganjaran jenis halwa mata dan telinga, contohnya ruang pejabat peribadi yang lebih luas, perhiasan dalaman, muzik yang disalurkan, mendengar penceramah jemputan dan sebagainya. Jenis ganjaran seterusnya ialah pemberian wang. Antara contoh ganjaran kewangan ini adalah hadiah wang khas atas perkhidmatan cemerlang, kenaikan gaji, bonus peribadi, polisi insurans, potongan bayaran hospital, potongan kenderaan dan lain-lain lagi.Ganjaran sosial pula adalah sebarang kata-kata ataupun perbuatan yang membuatkan seseorang itu berasa dirinya dihargai atas apa yang sudah dilakukannya. Kajian-kajian juga menunjukkan ganjaran jenis ini paling kuat kesannya disebabkan ia memenuhi semua ciri-ciri ganjaran yang baik. Kajian juga menunjukkan kesan ganjaran jenis ini paling besar apabila ia datang daripada individu yang berstatus tinggi contohnya Ketua Pengarah, Pengurus Besar ataupun Guru Besar yang memuji guru atau pekerja bawahannya termasuk murid. Contoh-contoh ganjaran sosial ini seperti puji-pujian lisan yang spesifik, surat pujian, pengiktirafan secara terbuka, jamuan keraian, penghargaan dalam mjlis rasmi, maklum balas kemajuan prestasi dan sebagainya.Ganjaran sebenar ataupun ganjaran simbolik ialah apa-apa yang diberikan atas apa yang sudah dilakukan oleh si penerimanya. Nilai ganjaran itu bukanlah pada harga sebenar barang tersebut, tetapi pada nilai dan makna emosinya bagi diri si penerima. Contoh-contoh ganjaran simbolik dan ganjaran benar adalah trofi, plak dan lain-lain, alatan kerja seperti komputer, talian telefon terus, telefon bimbit yang dibayarkan bilnya, keahlian kelab, dijemput duduk di atas pentas dan dijemput duduk sebaris ataupun semeja dengan ketua.Ganjaran kerja pula ialah kuasa dan tugas-tugas tambahan kepada kerja-kerja yang sudah dijalankan. Contoh-contoh ganjaran berkaitan kerja termasuklah kenaikan pangkat, tugas-tugas yang lebih besar dan mencabar, penilaian prestasi yang positif, dilantik ke dalam jawatankuasa penting, diberi peluang berkursus dan belajar, diberi pembantu, dipilih menjadi wakil ketua dan sebagainya. Dalam organisasi pendidikan, ganjaran kerjalah yang paling banyak diberi. Contohnya terdapat guru yang menyandang banyak jawatan penting dalam pelbagai jawatankuasa seperti menjadi setiausaha PIBG, pengerusi kelab staf dan sebagainya. Kajian pakar psikologi juga mendapati wujudnya kecenderungan di mana seseorang membina hubungan dengan individu-individu yang pernah diberi ganjaran olehnya. Kajian itu juga mendapati seseorang itu cenderung menyukai individu yang pernah mereka tolong.
PENUTUP Sama ada disedari atau tidak ketua-ketua sentiasa memberi maklumbalas akan prestasi dan tingkah laku subordinat mereka, baik di tempat kerja mahupun di luar. Perbuatan memberi maklumbalas adalah salah satu perbuatan yang dapat berfungsi sebagai pengukuh positif yang amat berkesan. Apa yang dimaksudkan sebagai maklumbalas ialah perbuatan memberi maklumat berkenaan apa yang sudah dilakukan oleh subordinat. Maklum balas ini boleh jadi dalam bentuk kata-kata, tingkah laku ketua itu sendiri ataupun hadiah dan pemberian. Semua bentuk maklumat adalah maklum balas. Contohnya apabila seorang guru besar meminta seorang guru menolongnya, guru tersebut mendapat maklumat ketuanya menyukai dirinya. Secara tersirat, setiap ganjaran daripada ketua memberitahu bahawa apa yang dilakukan oleh subordinat adalah tingkah laku yang baik. Akhir kata, dalam organisasi pendidikan khususnya sekolah seseorang guru perlu sentiasa meningkatkan prestasi kerja supaya tergolong dalam kategori pekerja yang paling produktif selaras dengan matlamat pemimpin negara untuk melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Friday, October 9, 2009




Satu Malaysia ;
Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Konsep “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abd. Razak apabila beliau dilantik ke jawatan itu 3 April 2009.
Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.
Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.
1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu “Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”.
“1 Malaysia” memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
“1 Malaysia” memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.
Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan” lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.
Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar negara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, adalah kesinambungan daripada konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.
Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.
Melalui gagasan 1 Malaysia; “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, Perdana Menteri memastikan bahawa setiap rakyat samada Melayu, Cina , India dan etnik-etnik lain tidak merasa diri mereka terpinggir dari arus perdana pembangunan negara dan agenda nasional. Setiap orang dari seluruh rakyat mempunyai hak yang sama. Beliau mengibaratkan semua rakyat sebagai sebatang sungai yang mengalir ke arah satu tujuan yang sama.
Sebagai bukti keprihatinan dan iltizam, Dato’ Seri Najib membuat lawatan pertama ke tiga lokasi sejurus selepas mengangkat sumpah memegang jawatan. Tempat-tempat itu adalah lambang lokasi tiga golongan utama : Hentian Bas Puduraya, tempat ramai orang Melayu dan peniaga; Petaling Street, tempat ramai orang Cina berniaga; Jalan Brickfield, tempat ramai orang India menjalankan perniagaan. Di tempat-tempat itu, beliau merasa dan menghayati hembusan nafas, denyut nadi dan degupan jantung rakyat.
1 Malaysia bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:
1. Budaya kecemerlangan2. Ketabahan3. Rendah hati4. Penerimaan5. Kesetiaan6. Meritokrasi7. Pendidikan8. Integriti

BUDAYA KECEMERLANGAN
Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.
Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara. Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.
Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.
KETABAHAN
Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan. Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.
Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.
Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif. Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya
Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan. Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.
RENDAH HATI
Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran agama begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Malaysia yang menghormati orang yang merendah diri.
Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain. Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia. Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.
Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada. Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.
PENERIMAAN
Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.
Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama. Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.
Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik. Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.
KESETIAAN
Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.
Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.
Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak. Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.
Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.
Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang. Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.
Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.
MERITOKRASI
Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut..
Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih. Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.
Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan. Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan. Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.
PENDIDIKAN
Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.
Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya. Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.
Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama. Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk Satu Malaysia.
INTEGRITI
Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.
Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan. Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima. Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.
Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama . Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan. Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan
Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah. Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.
Setelah 52 tahun merdeka, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya, adat resam dan fahaman politik memerlukan satu misi bagi memajukan negara secara bersama. Konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri adalah langkah yang amat bertepatan dengan suasana dan citarasa rakyat.
Semua rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka adalah bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak dalam satu nada dan satu matlamat. Ciri-ciri demografi seperti negeri, daerah, kaum, agama dan budaya wajar dihindari bagi menwujudkan satu bangsa Malaysia yang berfikiran terbuka serta ingin memajukan negara secara bersama.
Perpaduan kaum yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi dengan menganggap kita adalah rakyat Malaysia dan bangsa Malaysia. Keadaan ini akan dapat menwujudkan suasana negara yang aman, harmoni, selesa, keselamatan yang terjamin dan memberi kemakmuran kepada negara. Rakyat perlu memahami bahawa negara yang mempunyai kestabilan politik dan keselamatan yang terjamin akan memberi perkembangan ekonomi yang pesat. Oleh itu rakyat akan dapat menikmati limpahan daripada kerancakan ekonomi negara.
Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.
Kelapan-lapan nilai murni yang tersebut di atas diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep “1 Malaysia” ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.

Thursday, October 1, 2009


KEPENTINGAN ICT KEPADA PENGURUS SEKOLAH

TEKNOLOGI maklumat dan komunikasi (ICT) sememangnya dapat membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya. Pengurus sekolah tidak dapat memisahkan dirinya daripada membuat keputusan pada setiap hari kerana ini merupakan elemen penting dalam mentadbir dan mengurus sekolah. Hakikatnya ICT sangat membantu dan menolong mereka (pengurus sekolah) untuk berfungsi dengan lebih cekap, berkesan, mudah, cepat dan membuat keputusan yang baik yang melibatkan maklumat, proses dan kerja seperti pendaftaran pelajar, pelbagai rekod, kawalan inventori, jadual waktu, opsyen guru, bilangan waktu mengajar, hal yang berkaitan peperiksaan, pembelian stok dan sebagainya. Ini bersesuaian dengan pendapat Laudon dan Laudon ( 1997 ) yang menyatakan sistem maklumat dan komunikasi adalah komponen-komponen yang bersepadu yang mengumpul dan menyimpan maklumat bagi membantu organisasi membuat keputusan, merancang, mengawal dan menganalisis. Secara umum ICT dapat menukarkan data-data mentah yang tidak memberi makna kepada maklumat yang tersusun dan berguna apabila ianya diproses, disimpan dan boleh dikemaskinikan dengan mudah dan cepat dengan menggunakan pelbagai perisian komputer yang ada. Maklumat-maklumat yang telah diproses ini sudah tentu dapat membantu pengurus sekolah membuat keputusan-keputusan yang tepat dan berguna dalam perancangan, pemantauan dan kawalan. Sebagai contoh dengan menggunakan sistem maklumat berasaskan komputer, maklumat mengenai pencapaian pelajar dalam peperiksaan disimpan, diproses dan dianalisis dalam bentuk graf, carta pai, carta bar, senarai dan jadual-jadual statistik yang mudah membantu pentadbiran sekolah mengesan kekuatan dan kelemahan yang ada dan seterusnya memudahkan mereka membuat perancangan dan program susulan yang sesuai dan dengan sendirinya keputusan yang diambil nanti relevan dengan isu dan masalah yang berbangkit. Maklumat berkaitan pelajar tidak hanya terhad kepada peperiksaan semata-mata kerana mereka merupakan komuniti utama dalam sesebuah sekolah. Maklumat berkaitan pelajar termasuklah maklumat peribadi, pencapaian akademik, penglibatan kokurikulum, disiplin, sahsiah, buku teks, biasiswa dan sebagainya boleh diakses dengan mudah dan cepat untuk kegunaan pengurusan sekolah dengan bantuan teknologi ICT. Dulu maklumat yang disimpan di dalam fail kurang membantu dan dimanfaatkan kerana sukar dicapai. Tetapi kini dengan bantuan ICT, pengurusan sekolah dapat bekerjasama, berurusan dan membantu pihak luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, Mahkamah dan pihak-pihak tertentu dengan lebih mudah dan cepat apabila maklumat sentiasa dapat dikemaskinikan. Pengetua sebagai pengurus sekolah perlu membuat keputusan yang adil, bijak dan menyenangkan staf dan guru-guru sekolah. Umpamanya dalam menentukan prestasi, kecemerlangan, dan peluang-peluang kenaikan pangkat, suatu rekod dan maklumat yang lengkap dan kemaskini amatlah diperlukan supaya keputusan penilaian itu tepat dan tidak diragui. Rekod-rekod sumbangan, penglibatan dan penghargaan yang diterima dan tindakan proaktif yang positif boleh diperoleh dengan mudah melalui sistem maklumat staf yang ada yang membantu pengurusan sekolah membuat keputusan yang tidak membuta tuli. Selain itu tugas pengurusan pejabat yang berkaitan dengan pengurusan kewangan, pengurusan stok, inventori, pembelian dan pelupusan barang memerlukan satu sistem yang memudahkan pengurusan sekolah membuat keputusan-keputusan penting. “Sistem Sokongan Keputusan” (DSS) adalah perisian komputer yang boleh menganalisis data dan dapat memudahkan pembuatan keputusan berdasarkan output yang ditunjukkan. Reigelath (1987) berpendapat struktur sistem pendidikan semakin rendah apabila masyarakat cepat berubah dengan teknologi tinggi yang berorientasikan maklumat. Berdasarkan kenyataaan tersebut tidak dapat tidak pengurus pendidikan memainkan peranan dan tanggungjawab penting dalam menghadapi cabaran ke arah arus perubahan keseluruhan sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah. Bermula dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran, pendekatannya harus disesuaikan dengan arus perkembangan ICT terkini. Dalam konteks ini guru bukan lagi dilihat sebagai sumber utama untuk menyampaikan maklumat tetapi lebih sebagai pemudah cara. Sebagai pengurus pendidikan sewajarnya mempastikan guru-guru mempunyai kebolehan dan kemahiran memperolehi maklumat daripada pelbagai sumber untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran ( P & P ) dan tahu menggunakan teknologi komunikasi seperti CD Rom, cakera padat, video, komputer, komputer bimbit, dan perisian-perisian aplikasi komputer seperti e-mail, pengkalan data, pemprosesan perkataan, hamparan eletronik, internet, perisian persembahan dan lain-lainnya. Menurut Stair dan Reynolds ( 1999 ), tujuan utama sistem maklumat dan komunikasi adalah untuk membantu organisasi mencapai matlamat-matlamatnya dengan membekalkan pengurus-pengurus dengan “insight” ke atas operasi organisasi supaya mereka dapat mengawal, mengelola dan merancang dengan lebih berkesan dan lebih cekap. Justeru itu pengurus sekolah seharusnya menyiapkan diri dengan kepakaran dan kelebihan dalam teknologi maklumat ini kerana kemampuan mereka itu akan memudahkan sekolah diurus dengan berkesan dan cemerlang dan boleh menghadapi perubahan-perubahan drastik dalam dunia pendidikan. Kementerian Pendidikan umpamanya sebagai badan induk dunia pendidikan telah memainkan peranan penting untuk menghadapi zaman globalisasi dan dunia pendidikan tanpa sempadan dengan memasukkan kurikulum ICT dalam KBSR dan KBSM. Di samping sifat ICT itu sendiri yang membentuk suasana pembelajaran sepanjang hayat dan memberi peluang-peluang pembelajaran yang tidak ada had maka adalah menjadi suatu kewajaran kepada pengurus-pengurus pendidikan untuk menyesuaikan diri dengan segera kepada perubahan-perubahan ini. Dalam konteks sekolah kini, kebanyakan sistem pengurusan pejabat menggunakan peralatan komputer dengan menggunakan perisian-perisian seperti MS Excel untuk kewangan sekolah, sistem sokongan keputusan (DSS) untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah, sistem maklumat pengurusan (MIS) yang membolehkan capaian mudah kepada data pelajar dan staf, sistem pengautomasian pejabat (OAS) untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan urusan seharian pejabat dengan menghasilkan kerja yang lebih pantas dan lebih kemaskini. Selain itu satu aplikasi komputer dalam pengurusan skim pinjaman buku teks dibangunkan menggunakan perisian dBase IV dapat membantu pengurusan dalam proses pinjaman buku. Keadaan-keadaan ini amat menuntut pengurus sekolah supaya sama-sama bergerak seiring dengan arus perubahan tersebut supaya mereka menjadi seorang pengurus, pemimpin dan pentadbir yang berketrampilan dan berwibawa seperti mana pandangan Zarina Zakaria ( 1998 ) yang menyatakan bahawa ekspektasi pentadbir sekolah terhadap sistem-sistem maklumat dan sikap mereka terhadap penggunaan komputer memberikan impak yang besar kepada kejayaan sekolah. Komunikasi merupakan proses penghantaran dan penerimaan mesej. Melalui komunikasi pengurusan dan pentadbiran sekolah boleh berkongsi maklumat-maklumat yang berguna untuk sebarang urusan. Bentuk komunikasi seperti surat-menyurat, memo, fax, pesanan suara dan telefon adalah menjadi kebiasaan di mana-mana. Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penguasaan kemahiran komunikasi yang berasaskan teknologi terkini amat penting untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengurusan sekolah kerana ianya lebih memberi sumber maklumat yang boleh diakseskan secara global di samping ianya lebih cepat, lebih jelas dan menarik. Proses-proses komunikasi boleh dikembangkan dan dipertingkatkan dengan bantuan peralatan teknologi komunikasi tersebut. Maklumat boleh diulang-ulang, boleh dihantar dalam pelbagai keadaan dan bentuk seperti gambarajah dan carta serta diikuti dengan kesan audio. Sebagai contohnya, penggunaan e-mail berasaskan web memudahkan pengurusan sekolah menerima mesej dan maklumat daripada pihak yang berkepentingan dengan sekolah seperti Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran dan sebagainya dengan lebih lancar, jelas dan sempurna. Di samping mendapat maklumat dengan cepat, maklumat-maklumat itu boleh merangkumi bukan sahaja teks, malahan gambar, animasi, grafik dan audio juga boleh diperoleh. Maklumat-maklumat boleh segera diperolehi melalui penggunaan internet menerusi “File Transfer Protocol” , “World Wide Web” dan sebagainya yang dapat membantu organisasi sekolah mendapat ilmu pengetahuan yang baru dan terkini. Hakikatnya memang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasi sekolah yang mendorong untuk menjadikan sekolah sebuah organisasi pembelajaran dan mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan warga sekolah.

Saturday, September 26, 2009


GAYA KEPIMPINAN TRANSFORMASI

Gaya kepemimpinan transformasi atau transformational leadership adalah yang terbaik bagi organisasi pendidikan. Alasannya, bagi organisasi pendidikan seperti sekolah aspek utama dalam pembangunan pengurusan ialah sumber manusianya.
Bernard Bass dalam artikelnya Transformational menjelaskan empat ciri yang wujud dalam kepemimpinan transformational ini, iaitu Karismatik, Inspirasi, Merangsang Intelektual dan Kesedaran Individu.
Dalam ciri kepemimpinan yang berkarismatik, pemimpin itu bukan sekadar menyediakan visi atau hala tuju organisasi, malahan turut menyediakan pernyataan misi (bagi mencapai visi), sentiasa menanamkan nilai-nilai kebanggaan yang boleh dikongsi bersama.
Beliau juga sentiasa meniupkan semangat kepada orang-orang di bawahnya dan menggambarkan bahawa diri mereka mampu menjadi suatu kumpulan atau bangsa yang dihormati dan dipercayai dengan syarat mereka percaya kepada kebolehan diri sendiri.
Ciri inspirasi yang ada pada pemimpin seperti ini mampu menjadikan dirinya sebagai sumber inspirasi atau sumber dorongan ke arah suatu pencapaian yang diingini. Beliau juga mempunyai ekspektasi (jangkaan) yang tinggi ke atas sesuatu yang dilakukan dan baginya tiada suatu pun yang mustahil untuk dicapai.
Pemimpin seperti ini bersedia menggunakan lambang-lambang, simbol-simbol dan slogan-slogan tertentu untuk membakar semangat bawahannya. Simbol, lambang atau slogan itu diulang-ulang laungannya sehingga menyebati dalam minda dan jiwa setiap orang.
Beliau sentiasa memberi fokus kepada tindakan-tindakannya dan menegaskan perkara-perkara yang penting dengan menggunakan cara yang mudah.
Pemimpin trasformasi juga turut berupaya merangsang daya intelektual. Beliau yang sendiri memiliki darjah kecerdasan dan kepintaran yang sangat tinggi, turut mempromosikan kecerdasan, rasional dan mengambil sesuatu tindakan penyelesaian masalah dengan cara yang cekap dan penuh hati-hati.
Pemimpin transformasi turut memberi pertimbangan kepada kesedaran individu. Mereka memberi perhatian kepada seseorang secara personal, memberikan perhatian kepada setiap pekerjanya secara individu serta memberikan setiap daripada mereka bimbingan dan nasihat.
Ini sangat berlawanan dengan kepemimpinan transactional atau transactional leadership. Pemimpin transaksi selalu menjanjikan ganjaran atau habuan seperti kenaikan pangkat, gaji dan sebagainya berdasarkan kepada prestasi yang baik. Pemimpin dengan gaya transaksi mengamalkan “management by exception“, iaitu hanya melihat dan mencari kesilapan atau deviasi dari peraturan dan standard atau hanya campurtangan apabila prestasi tidak mencapai standard semasa implementasi pelan strategik anda.
Pengetua selaku pemimpin instruksional di sekolah akan dilihat lebih berjaya jika dia dapat mengadunnya dengan gaya kepemimpinan transformasi ini.

Wednesday, September 16, 2009


STRATEGI MENGATASI KELEMAHAN DI SEKOLAH

PENTADBIRAN yang berkesan adalah salah satu aspek yang membolehkan sekolah mencapai visi dan misinya.Aspek-aspek kepemimpinan dan pengurusan yang berkesan sepatutnya diikuti dan menjadi panduan. Pengetua yang berkesan mempunyai watak yang unggul dengan penampilan diri yang sihat, bersih, beretika dan tutur kata yang sopan, mempunyai kekuatan minda dan kemantapan intelektual.
Dengan kekuatan nilai keperibadian yang ada, pengetua dapat menjadi seorang pentadbir yang bijak dengan merangka matlamat sekolah yang jelasdan memperjelaskan kepada semua warga sekolah untuk difahami dan dihayati oleh mereka.Seterusnya pengetua memberi galakan kepada peningkatan profesional guru untuk memperkembang tahap pengetahuan dan ilmu mereka untuk sama-sama membangunkan sekolah dan pelajar pula dirangsangkan untuk berusaha dengan lebih gigih untuk kemajuan akademik mereka yang lebih cemerlang.Salah satu peranan pengetua ialah sebagai pembina iklim pembelajaran iaitu warga sekolah diberi kefahaman mengenai kedudukan dan penglibatan mereka dalam “organisasi pembelajaran” dan hubungan yang ada.
LIBATKAN SEMUA DARI AWALSemua warga sekolah wajar dilibatkan bersama dalam penggubalan visi dan misi sekolah. Mereka seharusnya disedarkan terlebih dahulu tentang apa yang sedang berlaku di sekolah, masalah yang dihadapi oleh sekolah, kekuatan serta kekangan yang sedia ada. Selepas itu mereka bersama Pengetua memikirkan ke mana sekolah hendak diarahkan atau dibawa. Apabila di setiap peringkat penggubalan visi dan misi itu sudah melibatkan semua pihak yang ada di sekolah, termasuk pelajar dan staf sokongan barulah wujud kesungguhan setiap pihak tanpa terkecuali seorang pun untuk bekerja keras mencapai objektif yang digariskan. Sebabnya setiap pihak merasakan bahawa visi yang digubal itu adalah visi mereka juga atau visi organisasi, bukannya visi dan misi peribadi pengetua atau beberapa orang penting di sekolah sahaja.
Strategi ini juga memerlukan visi dan misi itu dikomunikasi dengan kerap kepada semua ahli dalam organisasi itu. Visi yang digubal sekurang-kurangnya oleh wakil bagi setiap kumpulan di sekolah perlu ada satu batasan waktu perbincangan sebelum dimaktubkan. Ia perlu melalui peringkat perbahasan dan sepatutnya tidak ada pihak yang berasa tersinggung daripada dapatan yang diperoleh kerana kita hendak menjadikan visi itu dikongsi bersama.
Akhirnya kita akan hanya ada satu visi dan misi yang benar-benar tulen, sesuai dengan situasi kita dan dipersetujui oleh semua pihak. Inilah yang berlaku kepada Wawasan 2020. Di peringkat awal ia hanyalah merupakan cetusan idea dan pandangan jauh Perdana Menteri ketika itu, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.Di peringkat awal wawasan ini dikomunikasikan dengan orang ramai dan diperbahaskan daripada pelbagai persepktif oleh berbagai-bagai pihak. Bermacam-macam pendapat dikemukakan tentang visi ini dan di pihak kerajaan mereka menjawab dan mempertahankan visi tersebut. Akhirnya visi itu diterima dan dihadam oleh sebahagian besar rakyat di negara ini. Rakyat yang sebelum ini tidak ada visi atau tidak jelas akan halatuju mereka telah diberikan satu visi yang boleh dikongsi bersama. Dan mereka bersama-sama menterjemahkannya dalam bentuk misi masing-masing untuk mencapai matlamat Visi 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menurut acuan sendiri. Buktinya, satu demi satu kejayaan dicapai oleh negara dan rakyat yang menjadi kebanggaan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan peringkat.
Alangkah baiknya jika ini berlaku di sekolah. Apa yang berlaku, pengetua kurang jelas tentang cara menghebahkan atau mengongsikan visi dan misi itu. Pengetua beranggapan apabila visi dan misi itu sudah ditulis pada dinding-dinding bangunan sekolah dan dibingkaikan, visi dan misi itu sudah dikongsi. Atau mereka beranggapan sepatutnya semua ahli membacanya. Menuliskan visi di tempat-tempat itu bukanlah indikator yang tepat untuk membuktikan bahawa visi dan misi itu sudah dikongsi bersama. Lebih baiklah visi dan misi itu dikongsi dari awal lagi bermula daripada peringkat idea, membuat analisis SWOT, penggubalan, perbahasan, penulisan dan di peringkat pelaksanaan. Barulah timbul penghayatan setiap pihak dan jika ini berlaku tidak adalah pihak yang menyalahkan pihak lain jika visi dan misi itu tidak dicapai kerana menyalahkan orang lain bererti menyalahkan diri mereka juga.
MEMBENTUK SUASANA KERJA BERMOTIVASI Strategi kedua ini berkait rapat dengan pembentukan iklim sekolah yang sihat dan kondusif yang mendorong murid belajar dan guru mengajar. Setiap sudut yang ada di sekolah; dari bilik gurunya, pejabat, bilik pengetua sehinggalah ke padang, pondok jaga dan tandas mesti mendorong setiap ahli di sekolah itu untuk bekerja dan belajar. Tidak ada hipokrasi dalam hal ini, maksudnya sebahagian premis diindahkan, terutama pejabat dan kelas-kelas murid pintar sedangkan premis lain, khususnya yang tersembunyi seperti setor, tandas dan kelas-kelas terkebelakang dibiarkan begitu sahaja.
Pengetua sebagai pemimpin tertinggi di sekolah yang menjadi contoh kepada anak buahnya mesti mempunyai aspektasi yang tinggi dalam setiap perkara yang dilakukannya dan apa yang bakal dicapai. Aspektasi itu harus dihebahkan kepada semua warga sekolah pada setiap kesempatan supaya dikongsi bersama oleh setiap ahli. Untuk memastikan aspektasi itu sentiasa tinggi, dapat dicapai dan tidak dipengaruhi oleh mood , pengetua wajar menyediakan langkah-langkah dan kemudahan yang sepatutnya. Tiada guna aspektasi yang tinggi jika tidak diimbangi dengan tindakan yang diambil dan kemudahan yang disediakan.
Kesan akhir yang diharapkan daripada strategi ini ialah pencapaian yang tinggi yang antaranya digambarkan melalui keputusan peperiksaan pelajar di sekolah tersebut, bilangan gurunya yang naik pangkat dan pencapaian dalam bidang kokurikulum. Walaupun ada orang yang beranggapan “high performance” itu boleh dilihat daripada pelbagai perkara, namun ketiga-tiga contoh yang saya sebutkan tadi adalah bentuk-bentuk pencapaian yang boleh diukur dan dilihat hasilnya.
Sekolah yang berkesan seperti juga organisasi perniagaan yang berkesan selalu meraikan kejayaan organisasi dan ahli-ahlinya. Setiap kejayaan dikongsi bersama. Mereka tidak pernah memilih kejayaan siapa dan apa yang harus diraikan. Setiap kejayaan walaupun kecil diraikan menurut cara yang cukup bermakna bagi organisasi tersebut. Pengetua mesti peka terhadap setiap pencapaian ahli-ahlinya dan tidak membiarkan kejayaan yang diperoleh begitu sahaja tanpa diraikan.
Berbagai-bagai bentuk keraian boleh dibuat dan yang paling kecil ialah mengucapkan tahniah dan takziah. Pengetua yang berkesan bukan sahaja tidak berkompromi terhadap sebarang kecatatan, tetapi pada masa yang sama cepat peka terhadap setiap kejayaan yang dicapai. Ia tidak perlu menunggu esok atau minggu yang satu lagi untuk meraikan kejayaan itu. Penghargaan dalam bentuk jamuan, T-Shirt yang bertulis Kami Sentiasa Nombor Satu, Guru Minggu Ini, dan Pelajar Hari Ini adalah antara bentuk-bentuk pujian dan penghargaan yang boleh dibuat. Mula-mula hal ini berlaku secara terpaksa, hambar dan semacam dibuat-buat, tetapi lama kelamaan apabila ia sudah berbudaya ia akan kelihatan lebih ceria, menyeronokkan dan diiktiraf oleh setiap warga sekolah.
Tidak memadai sekadar berkongsi kegembiraan sahaja, sedangkan kesedihan yang dialami oleh warga sekolah dibiarkan begitu sahaja. Strategi ini memerlukan setiap warga sekolah berkongsi rasa simpati dan kesedihan apabila sesuatu petaka menimpa ahli atau sekolah. Kematian, kemalangan, kecederaan dan kegagalan mencapai sesuatu yang diharapkan boleh dijelmakan dalam bentuk rasa simpati yang dibuat dalam bentuk tafakur, membaca al-Fatihah, membacakan kejayaan dan jasa si mati terhadap organisasi, aktiviti ziarah, huluran buah tangan, dan paling kurang menghulurkan kad ucap takziah.
Ringkasnya strategi ini dapat dicapai jika setiap individu di sekolah bermula dari pengetuanya hinggalah kepada jaga dan tukang kebunnya mempunyai kualiti diri dan budaya kerja yang positif. Kita menyaksikan ada jaga yang berpakaian selekeh, tidak bergosok dan baju terkeluar sedangkan mereka adalah wajah pertama yang ditemui sebelum seseorang itu memasuki sekolah.
Selain itu, setiap peringkat dan proses pembangunan sekolah mempunyai kualiti-kualiti yang ditentukan yang tidak boleh ditolak-ansurkan. Maksudnya kualiti mesti berada pada tahap yang maksimum di setiap peringkat pengurusan sekolah bermula dari peringkat merancang, mengelola sehinggalah memimpin dan mengawal.
Dalam erti kata lain output yang berkualiti, terhasil daripada input dan proses yang berkualiti. Dalam konteks sekolah pelajar yang cemerlang terhasil daripada guru-guru yang cemerlang yang melaksanakan tugas pengajaran yang paling berkesan.
Pengetua yang bijak dapat memanipulasikan komuniti setempat untuk memberi sedikit tekanan kepada setiap ahli organisasi sekolah agar bertindak cemerlang dan menghasilkan keputusan yang cemerlang. Harapan masyarakat yang sentiasa tinggi terhadap sekolah mendorong guru-guru di sekolah berusaha meningkatkan tahap kerja dan pencapaian mereka. Mereka sentiasa terdorong untuk melahirkan keputusan yang cemerlang dan mendapat pujian atau pengiktirafan masyarakat walaupun perkara ini tidak pernah dinyatakan secara terus terang.
Tetapi strategi ini tidak dapat dicapai jika hubungan pengetua dengan komuniti setempat tidak berapa baik. Maknanya sebelum semua ini tercapai tugas pengetua yang pertama ialah memenangi hati masyarakat setempat agar menyokong pihak sekolah.

Sunday, September 13, 2009


TIGA FASA PENDIDIKAN

ERA 80-an memberi tumpuan kepada sekolah berkesan. Dari sinilah timbulnya istilah sekolah berwatak sebagaimana ditekankan oleh KPPM ketika itu, iaitu Datuk Abdul Syukur Abdullah. Dalam era 90-an, dunia pendidikan beralih kepada aspek kualiti. Sejajar dengan tema ini, aspek kepuasan pelanggan telah diberi keutamaan. Hal yang demikian dimanifestasikan melalui langkah-langkah strategik dalam Perancangan Strategik dan Taktikal seperti penggubalan Piagam Pelanggan, Pembentukan Visi dan Misi sekolah, Manual Prosedur Kerja, Fail Meja, Senarai Semak dan Carta Aliran. Era ini menyaksikan banyak sekolah berebut-rebut untuk mendapatkan pengiktirafan ISO9000. Era 2000 sehingga sekarang tumpuan bertukar kepada sekolah masa depan. Di sinilah timbulnya gagasan pendidikan berkualiti bertaraf dunia. Di peringkat inilah sepatutnya kita berada. Tetapi realitinya kita masih tidak boleh melepaskan diri daripada membincangkan sekolah berkesan, kepemimpinan berkualiti para pengetuanya, dan kecemerlangan sekolah dalam pencapaian akademik. Jika kita inginkan sekolah kita bertaraf dunia dan pendidikan kita berorientasikan masa depan, aspek kemudahan di sekolah amnya dan peralatan P&P khususnya mesti dinaiktaraf dari semasa ke semasa. Sekolah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan terkini, penggunaan ICT sepenuhnya dalam P & P, dan jumlah pelajar yang tidak melebihi 30 orang dalam satu kelas mesti menjadi pertimbangan utama jika kita inginkan pendidikan kita bertaraf dunia.