Sunday, September 13, 2009


TIGA FASA PENDIDIKAN

ERA 80-an memberi tumpuan kepada sekolah berkesan. Dari sinilah timbulnya istilah sekolah berwatak sebagaimana ditekankan oleh KPPM ketika itu, iaitu Datuk Abdul Syukur Abdullah. Dalam era 90-an, dunia pendidikan beralih kepada aspek kualiti. Sejajar dengan tema ini, aspek kepuasan pelanggan telah diberi keutamaan. Hal yang demikian dimanifestasikan melalui langkah-langkah strategik dalam Perancangan Strategik dan Taktikal seperti penggubalan Piagam Pelanggan, Pembentukan Visi dan Misi sekolah, Manual Prosedur Kerja, Fail Meja, Senarai Semak dan Carta Aliran. Era ini menyaksikan banyak sekolah berebut-rebut untuk mendapatkan pengiktirafan ISO9000. Era 2000 sehingga sekarang tumpuan bertukar kepada sekolah masa depan. Di sinilah timbulnya gagasan pendidikan berkualiti bertaraf dunia. Di peringkat inilah sepatutnya kita berada. Tetapi realitinya kita masih tidak boleh melepaskan diri daripada membincangkan sekolah berkesan, kepemimpinan berkualiti para pengetuanya, dan kecemerlangan sekolah dalam pencapaian akademik. Jika kita inginkan sekolah kita bertaraf dunia dan pendidikan kita berorientasikan masa depan, aspek kemudahan di sekolah amnya dan peralatan P&P khususnya mesti dinaiktaraf dari semasa ke semasa. Sekolah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan terkini, penggunaan ICT sepenuhnya dalam P & P, dan jumlah pelajar yang tidak melebihi 30 orang dalam satu kelas mesti menjadi pertimbangan utama jika kita inginkan pendidikan kita bertaraf dunia.

No comments: