Saturday, September 26, 2009


GAYA KEPIMPINAN TRANSFORMASI

Gaya kepemimpinan transformasi atau transformational leadership adalah yang terbaik bagi organisasi pendidikan. Alasannya, bagi organisasi pendidikan seperti sekolah aspek utama dalam pembangunan pengurusan ialah sumber manusianya.
Bernard Bass dalam artikelnya Transformational menjelaskan empat ciri yang wujud dalam kepemimpinan transformational ini, iaitu Karismatik, Inspirasi, Merangsang Intelektual dan Kesedaran Individu.
Dalam ciri kepemimpinan yang berkarismatik, pemimpin itu bukan sekadar menyediakan visi atau hala tuju organisasi, malahan turut menyediakan pernyataan misi (bagi mencapai visi), sentiasa menanamkan nilai-nilai kebanggaan yang boleh dikongsi bersama.
Beliau juga sentiasa meniupkan semangat kepada orang-orang di bawahnya dan menggambarkan bahawa diri mereka mampu menjadi suatu kumpulan atau bangsa yang dihormati dan dipercayai dengan syarat mereka percaya kepada kebolehan diri sendiri.
Ciri inspirasi yang ada pada pemimpin seperti ini mampu menjadikan dirinya sebagai sumber inspirasi atau sumber dorongan ke arah suatu pencapaian yang diingini. Beliau juga mempunyai ekspektasi (jangkaan) yang tinggi ke atas sesuatu yang dilakukan dan baginya tiada suatu pun yang mustahil untuk dicapai.
Pemimpin seperti ini bersedia menggunakan lambang-lambang, simbol-simbol dan slogan-slogan tertentu untuk membakar semangat bawahannya. Simbol, lambang atau slogan itu diulang-ulang laungannya sehingga menyebati dalam minda dan jiwa setiap orang.
Beliau sentiasa memberi fokus kepada tindakan-tindakannya dan menegaskan perkara-perkara yang penting dengan menggunakan cara yang mudah.
Pemimpin trasformasi juga turut berupaya merangsang daya intelektual. Beliau yang sendiri memiliki darjah kecerdasan dan kepintaran yang sangat tinggi, turut mempromosikan kecerdasan, rasional dan mengambil sesuatu tindakan penyelesaian masalah dengan cara yang cekap dan penuh hati-hati.
Pemimpin transformasi turut memberi pertimbangan kepada kesedaran individu. Mereka memberi perhatian kepada seseorang secara personal, memberikan perhatian kepada setiap pekerjanya secara individu serta memberikan setiap daripada mereka bimbingan dan nasihat.
Ini sangat berlawanan dengan kepemimpinan transactional atau transactional leadership. Pemimpin transaksi selalu menjanjikan ganjaran atau habuan seperti kenaikan pangkat, gaji dan sebagainya berdasarkan kepada prestasi yang baik. Pemimpin dengan gaya transaksi mengamalkan “management by exception“, iaitu hanya melihat dan mencari kesilapan atau deviasi dari peraturan dan standard atau hanya campurtangan apabila prestasi tidak mencapai standard semasa implementasi pelan strategik anda.
Pengetua selaku pemimpin instruksional di sekolah akan dilihat lebih berjaya jika dia dapat mengadunnya dengan gaya kepemimpinan transformasi ini.

Wednesday, September 16, 2009


STRATEGI MENGATASI KELEMAHAN DI SEKOLAH

PENTADBIRAN yang berkesan adalah salah satu aspek yang membolehkan sekolah mencapai visi dan misinya.Aspek-aspek kepemimpinan dan pengurusan yang berkesan sepatutnya diikuti dan menjadi panduan. Pengetua yang berkesan mempunyai watak yang unggul dengan penampilan diri yang sihat, bersih, beretika dan tutur kata yang sopan, mempunyai kekuatan minda dan kemantapan intelektual.
Dengan kekuatan nilai keperibadian yang ada, pengetua dapat menjadi seorang pentadbir yang bijak dengan merangka matlamat sekolah yang jelasdan memperjelaskan kepada semua warga sekolah untuk difahami dan dihayati oleh mereka.Seterusnya pengetua memberi galakan kepada peningkatan profesional guru untuk memperkembang tahap pengetahuan dan ilmu mereka untuk sama-sama membangunkan sekolah dan pelajar pula dirangsangkan untuk berusaha dengan lebih gigih untuk kemajuan akademik mereka yang lebih cemerlang.Salah satu peranan pengetua ialah sebagai pembina iklim pembelajaran iaitu warga sekolah diberi kefahaman mengenai kedudukan dan penglibatan mereka dalam “organisasi pembelajaran” dan hubungan yang ada.
LIBATKAN SEMUA DARI AWALSemua warga sekolah wajar dilibatkan bersama dalam penggubalan visi dan misi sekolah. Mereka seharusnya disedarkan terlebih dahulu tentang apa yang sedang berlaku di sekolah, masalah yang dihadapi oleh sekolah, kekuatan serta kekangan yang sedia ada. Selepas itu mereka bersama Pengetua memikirkan ke mana sekolah hendak diarahkan atau dibawa. Apabila di setiap peringkat penggubalan visi dan misi itu sudah melibatkan semua pihak yang ada di sekolah, termasuk pelajar dan staf sokongan barulah wujud kesungguhan setiap pihak tanpa terkecuali seorang pun untuk bekerja keras mencapai objektif yang digariskan. Sebabnya setiap pihak merasakan bahawa visi yang digubal itu adalah visi mereka juga atau visi organisasi, bukannya visi dan misi peribadi pengetua atau beberapa orang penting di sekolah sahaja.
Strategi ini juga memerlukan visi dan misi itu dikomunikasi dengan kerap kepada semua ahli dalam organisasi itu. Visi yang digubal sekurang-kurangnya oleh wakil bagi setiap kumpulan di sekolah perlu ada satu batasan waktu perbincangan sebelum dimaktubkan. Ia perlu melalui peringkat perbahasan dan sepatutnya tidak ada pihak yang berasa tersinggung daripada dapatan yang diperoleh kerana kita hendak menjadikan visi itu dikongsi bersama.
Akhirnya kita akan hanya ada satu visi dan misi yang benar-benar tulen, sesuai dengan situasi kita dan dipersetujui oleh semua pihak. Inilah yang berlaku kepada Wawasan 2020. Di peringkat awal ia hanyalah merupakan cetusan idea dan pandangan jauh Perdana Menteri ketika itu, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.Di peringkat awal wawasan ini dikomunikasikan dengan orang ramai dan diperbahaskan daripada pelbagai persepktif oleh berbagai-bagai pihak. Bermacam-macam pendapat dikemukakan tentang visi ini dan di pihak kerajaan mereka menjawab dan mempertahankan visi tersebut. Akhirnya visi itu diterima dan dihadam oleh sebahagian besar rakyat di negara ini. Rakyat yang sebelum ini tidak ada visi atau tidak jelas akan halatuju mereka telah diberikan satu visi yang boleh dikongsi bersama. Dan mereka bersama-sama menterjemahkannya dalam bentuk misi masing-masing untuk mencapai matlamat Visi 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menurut acuan sendiri. Buktinya, satu demi satu kejayaan dicapai oleh negara dan rakyat yang menjadi kebanggaan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan peringkat.
Alangkah baiknya jika ini berlaku di sekolah. Apa yang berlaku, pengetua kurang jelas tentang cara menghebahkan atau mengongsikan visi dan misi itu. Pengetua beranggapan apabila visi dan misi itu sudah ditulis pada dinding-dinding bangunan sekolah dan dibingkaikan, visi dan misi itu sudah dikongsi. Atau mereka beranggapan sepatutnya semua ahli membacanya. Menuliskan visi di tempat-tempat itu bukanlah indikator yang tepat untuk membuktikan bahawa visi dan misi itu sudah dikongsi bersama. Lebih baiklah visi dan misi itu dikongsi dari awal lagi bermula daripada peringkat idea, membuat analisis SWOT, penggubalan, perbahasan, penulisan dan di peringkat pelaksanaan. Barulah timbul penghayatan setiap pihak dan jika ini berlaku tidak adalah pihak yang menyalahkan pihak lain jika visi dan misi itu tidak dicapai kerana menyalahkan orang lain bererti menyalahkan diri mereka juga.
MEMBENTUK SUASANA KERJA BERMOTIVASI Strategi kedua ini berkait rapat dengan pembentukan iklim sekolah yang sihat dan kondusif yang mendorong murid belajar dan guru mengajar. Setiap sudut yang ada di sekolah; dari bilik gurunya, pejabat, bilik pengetua sehinggalah ke padang, pondok jaga dan tandas mesti mendorong setiap ahli di sekolah itu untuk bekerja dan belajar. Tidak ada hipokrasi dalam hal ini, maksudnya sebahagian premis diindahkan, terutama pejabat dan kelas-kelas murid pintar sedangkan premis lain, khususnya yang tersembunyi seperti setor, tandas dan kelas-kelas terkebelakang dibiarkan begitu sahaja.
Pengetua sebagai pemimpin tertinggi di sekolah yang menjadi contoh kepada anak buahnya mesti mempunyai aspektasi yang tinggi dalam setiap perkara yang dilakukannya dan apa yang bakal dicapai. Aspektasi itu harus dihebahkan kepada semua warga sekolah pada setiap kesempatan supaya dikongsi bersama oleh setiap ahli. Untuk memastikan aspektasi itu sentiasa tinggi, dapat dicapai dan tidak dipengaruhi oleh mood , pengetua wajar menyediakan langkah-langkah dan kemudahan yang sepatutnya. Tiada guna aspektasi yang tinggi jika tidak diimbangi dengan tindakan yang diambil dan kemudahan yang disediakan.
Kesan akhir yang diharapkan daripada strategi ini ialah pencapaian yang tinggi yang antaranya digambarkan melalui keputusan peperiksaan pelajar di sekolah tersebut, bilangan gurunya yang naik pangkat dan pencapaian dalam bidang kokurikulum. Walaupun ada orang yang beranggapan “high performance” itu boleh dilihat daripada pelbagai perkara, namun ketiga-tiga contoh yang saya sebutkan tadi adalah bentuk-bentuk pencapaian yang boleh diukur dan dilihat hasilnya.
Sekolah yang berkesan seperti juga organisasi perniagaan yang berkesan selalu meraikan kejayaan organisasi dan ahli-ahlinya. Setiap kejayaan dikongsi bersama. Mereka tidak pernah memilih kejayaan siapa dan apa yang harus diraikan. Setiap kejayaan walaupun kecil diraikan menurut cara yang cukup bermakna bagi organisasi tersebut. Pengetua mesti peka terhadap setiap pencapaian ahli-ahlinya dan tidak membiarkan kejayaan yang diperoleh begitu sahaja tanpa diraikan.
Berbagai-bagai bentuk keraian boleh dibuat dan yang paling kecil ialah mengucapkan tahniah dan takziah. Pengetua yang berkesan bukan sahaja tidak berkompromi terhadap sebarang kecatatan, tetapi pada masa yang sama cepat peka terhadap setiap kejayaan yang dicapai. Ia tidak perlu menunggu esok atau minggu yang satu lagi untuk meraikan kejayaan itu. Penghargaan dalam bentuk jamuan, T-Shirt yang bertulis Kami Sentiasa Nombor Satu, Guru Minggu Ini, dan Pelajar Hari Ini adalah antara bentuk-bentuk pujian dan penghargaan yang boleh dibuat. Mula-mula hal ini berlaku secara terpaksa, hambar dan semacam dibuat-buat, tetapi lama kelamaan apabila ia sudah berbudaya ia akan kelihatan lebih ceria, menyeronokkan dan diiktiraf oleh setiap warga sekolah.
Tidak memadai sekadar berkongsi kegembiraan sahaja, sedangkan kesedihan yang dialami oleh warga sekolah dibiarkan begitu sahaja. Strategi ini memerlukan setiap warga sekolah berkongsi rasa simpati dan kesedihan apabila sesuatu petaka menimpa ahli atau sekolah. Kematian, kemalangan, kecederaan dan kegagalan mencapai sesuatu yang diharapkan boleh dijelmakan dalam bentuk rasa simpati yang dibuat dalam bentuk tafakur, membaca al-Fatihah, membacakan kejayaan dan jasa si mati terhadap organisasi, aktiviti ziarah, huluran buah tangan, dan paling kurang menghulurkan kad ucap takziah.
Ringkasnya strategi ini dapat dicapai jika setiap individu di sekolah bermula dari pengetuanya hinggalah kepada jaga dan tukang kebunnya mempunyai kualiti diri dan budaya kerja yang positif. Kita menyaksikan ada jaga yang berpakaian selekeh, tidak bergosok dan baju terkeluar sedangkan mereka adalah wajah pertama yang ditemui sebelum seseorang itu memasuki sekolah.
Selain itu, setiap peringkat dan proses pembangunan sekolah mempunyai kualiti-kualiti yang ditentukan yang tidak boleh ditolak-ansurkan. Maksudnya kualiti mesti berada pada tahap yang maksimum di setiap peringkat pengurusan sekolah bermula dari peringkat merancang, mengelola sehinggalah memimpin dan mengawal.
Dalam erti kata lain output yang berkualiti, terhasil daripada input dan proses yang berkualiti. Dalam konteks sekolah pelajar yang cemerlang terhasil daripada guru-guru yang cemerlang yang melaksanakan tugas pengajaran yang paling berkesan.
Pengetua yang bijak dapat memanipulasikan komuniti setempat untuk memberi sedikit tekanan kepada setiap ahli organisasi sekolah agar bertindak cemerlang dan menghasilkan keputusan yang cemerlang. Harapan masyarakat yang sentiasa tinggi terhadap sekolah mendorong guru-guru di sekolah berusaha meningkatkan tahap kerja dan pencapaian mereka. Mereka sentiasa terdorong untuk melahirkan keputusan yang cemerlang dan mendapat pujian atau pengiktirafan masyarakat walaupun perkara ini tidak pernah dinyatakan secara terus terang.
Tetapi strategi ini tidak dapat dicapai jika hubungan pengetua dengan komuniti setempat tidak berapa baik. Maknanya sebelum semua ini tercapai tugas pengetua yang pertama ialah memenangi hati masyarakat setempat agar menyokong pihak sekolah.

Sunday, September 13, 2009


TIGA FASA PENDIDIKAN

ERA 80-an memberi tumpuan kepada sekolah berkesan. Dari sinilah timbulnya istilah sekolah berwatak sebagaimana ditekankan oleh KPPM ketika itu, iaitu Datuk Abdul Syukur Abdullah. Dalam era 90-an, dunia pendidikan beralih kepada aspek kualiti. Sejajar dengan tema ini, aspek kepuasan pelanggan telah diberi keutamaan. Hal yang demikian dimanifestasikan melalui langkah-langkah strategik dalam Perancangan Strategik dan Taktikal seperti penggubalan Piagam Pelanggan, Pembentukan Visi dan Misi sekolah, Manual Prosedur Kerja, Fail Meja, Senarai Semak dan Carta Aliran. Era ini menyaksikan banyak sekolah berebut-rebut untuk mendapatkan pengiktirafan ISO9000. Era 2000 sehingga sekarang tumpuan bertukar kepada sekolah masa depan. Di sinilah timbulnya gagasan pendidikan berkualiti bertaraf dunia. Di peringkat inilah sepatutnya kita berada. Tetapi realitinya kita masih tidak boleh melepaskan diri daripada membincangkan sekolah berkesan, kepemimpinan berkualiti para pengetuanya, dan kecemerlangan sekolah dalam pencapaian akademik. Jika kita inginkan sekolah kita bertaraf dunia dan pendidikan kita berorientasikan masa depan, aspek kemudahan di sekolah amnya dan peralatan P&P khususnya mesti dinaiktaraf dari semasa ke semasa. Sekolah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan terkini, penggunaan ICT sepenuhnya dalam P & P, dan jumlah pelajar yang tidak melebihi 30 orang dalam satu kelas mesti menjadi pertimbangan utama jika kita inginkan pendidikan kita bertaraf dunia.

Wednesday, September 9, 2009


Guru Sebagai Pembentuk Nilai

Nilai-nilai Guru merangkumi unsur-unsur pertimbangan seseorang individu seperti kebolehan, kebaikan, pengetahuan, potensi, bakat, kepercayaan, kecekapan, sikap, emosi, jasmani dan tingkah lakunya.

Konsep nilai adalah berkait dengan moral, prinsip atau kelakuan orang, khasnya pelajar-pelajar di sekolah. Nilai ini merupakan kriteria bagi guru mengukur moral, prinsip atau kelakuan pelajar sama ada baik, wajar, diingini atau sebaliknya buruk, tidak wajar dan dibenci.

Nilai moral yang baik, wajar dan diingini boleh dibentuk dengan berbagai cara, iaitu melalui contoh teladan, norma, adat resam dan percayaan masyarakat, peraturan dan undang-undang, hukuman dan ganjaran, dan pendidikan.

Di dalam sekolah, pelajar-pelajar dididik supaya membentuk akhlak yang mulai dan menjadi insan yang mempunyai nilai-nilai murni yang diingini. Nilai-nilai individu biasanya dibina daripada pengalaman-pengalaman yang dialaminya dari semasa ke semasa.

Guru sebagai pembentuk nilai hendaklah memainkan peranan sebagai role model supaya murid mencontohinya, di samping membentuk sahsiah murid melalui pengajaran-pembelajaran dan aktiviti kokurikulum.