Saturday, September 26, 2009


GAYA KEPIMPINAN TRANSFORMASI

Gaya kepemimpinan transformasi atau transformational leadership adalah yang terbaik bagi organisasi pendidikan. Alasannya, bagi organisasi pendidikan seperti sekolah aspek utama dalam pembangunan pengurusan ialah sumber manusianya.
Bernard Bass dalam artikelnya Transformational menjelaskan empat ciri yang wujud dalam kepemimpinan transformational ini, iaitu Karismatik, Inspirasi, Merangsang Intelektual dan Kesedaran Individu.
Dalam ciri kepemimpinan yang berkarismatik, pemimpin itu bukan sekadar menyediakan visi atau hala tuju organisasi, malahan turut menyediakan pernyataan misi (bagi mencapai visi), sentiasa menanamkan nilai-nilai kebanggaan yang boleh dikongsi bersama.
Beliau juga sentiasa meniupkan semangat kepada orang-orang di bawahnya dan menggambarkan bahawa diri mereka mampu menjadi suatu kumpulan atau bangsa yang dihormati dan dipercayai dengan syarat mereka percaya kepada kebolehan diri sendiri.
Ciri inspirasi yang ada pada pemimpin seperti ini mampu menjadikan dirinya sebagai sumber inspirasi atau sumber dorongan ke arah suatu pencapaian yang diingini. Beliau juga mempunyai ekspektasi (jangkaan) yang tinggi ke atas sesuatu yang dilakukan dan baginya tiada suatu pun yang mustahil untuk dicapai.
Pemimpin seperti ini bersedia menggunakan lambang-lambang, simbol-simbol dan slogan-slogan tertentu untuk membakar semangat bawahannya. Simbol, lambang atau slogan itu diulang-ulang laungannya sehingga menyebati dalam minda dan jiwa setiap orang.
Beliau sentiasa memberi fokus kepada tindakan-tindakannya dan menegaskan perkara-perkara yang penting dengan menggunakan cara yang mudah.
Pemimpin trasformasi juga turut berupaya merangsang daya intelektual. Beliau yang sendiri memiliki darjah kecerdasan dan kepintaran yang sangat tinggi, turut mempromosikan kecerdasan, rasional dan mengambil sesuatu tindakan penyelesaian masalah dengan cara yang cekap dan penuh hati-hati.
Pemimpin transformasi turut memberi pertimbangan kepada kesedaran individu. Mereka memberi perhatian kepada seseorang secara personal, memberikan perhatian kepada setiap pekerjanya secara individu serta memberikan setiap daripada mereka bimbingan dan nasihat.
Ini sangat berlawanan dengan kepemimpinan transactional atau transactional leadership. Pemimpin transaksi selalu menjanjikan ganjaran atau habuan seperti kenaikan pangkat, gaji dan sebagainya berdasarkan kepada prestasi yang baik. Pemimpin dengan gaya transaksi mengamalkan “management by exception“, iaitu hanya melihat dan mencari kesilapan atau deviasi dari peraturan dan standard atau hanya campurtangan apabila prestasi tidak mencapai standard semasa implementasi pelan strategik anda.
Pengetua selaku pemimpin instruksional di sekolah akan dilihat lebih berjaya jika dia dapat mengadunnya dengan gaya kepemimpinan transformasi ini.

No comments: